Perjalanan ini

Perjalanan ini

Selasa, 29 Mac 2011

Tanggungjawab dan harapan



Hari ini genap sembilan bulan pengajian aku, masa yang ada bagiku untuk menyiapkan kajian tinggal lagi dua tahun tiga bulan. Itupun jika tiada halangan yang datang menerpa. Apapun alasan yang boleh diberikan, pengajian ini perlu diteruskan. Dalam tempoh sembilan bulan ini pelbagai perkara yang telah kulalui dan pemergian ayahanda tercinta merupakan klimaks segalanya bagiku. Abah, Lan janji Lan akan jaga adik-adik semua dengan penuh kasih sayang dan tanggung jawab. Perkara ini tidak aku luahkan kepada abah semasa hayatnya masih ada, namun jauh dilubuk hati ini janji ini telah aku tekadkan. Lima orang adik dan seorang darinya cacat pendengaran menuntut aku memberikan komitmen yang tinggi. Apatah lagi kak ngah yang memang sentiasa memerlukan perhatian sepenuhnya dariku untuk menguruskan keperluan hariannya. Sungguh besar ujianNya terhadap diriku, namun hati ini yakin bahawa Allah tidak akan menguji insan yang tidak dapat menanggung ujianNya. Hanya mereka yang layak saja diuji beserta peningkatan iman dan menghapuskan dosa. Itu kata-kata ustaz yang sering aku dengar, semoga Allah merahmatiku. Pengajian diperingkat ini banyak menuntut akan kesabaran dan pengorbanan diri dan keluarga. Betullah apa yang disuarakan oleh Prof Wan Salihin agar aku menerangkan kepada keluargaku bahawa tempoh pengajian selama tiga tahun ini perlu pengorbanan dari semua ahli keluarga. Ibarat mencari semut hitam diatas batu hitam, itu kata sahabatku Raman, teman pengajianku. Peluang menyambung pengajian yang diberikan ini akan aku gunakan untuk mencapai cita-cita dan harapan aku dan keluarga. Abah, walaupun abah tiada bersama Lan dan keluarga dimuka bumi Allah ini namun nasihat dan tunjuk ajar abah akan Lan pegang ke akhir hayat. Ya Allah ampunkan dosa abahku semasa hayatnya. Buat isteri tercinta, abg long, kak ngah, mujahid dan semua keluarga tersayang doakan agar usaha ini akan membuahkan harapan. AMIN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan