AlhamduLILLAH setinggi pujian kepada yang Maha Esa.
Semalam saya menerima keputusan melalui web yang permohonan melanjutkan pengajian peringkat PhD telah diterima dan diarahkan mendaftar pada 30hb Jun 2010. Hingga kini saya masih menunggu surat panggilan rasmi tersebut untuk dipanjangkan kepada ketua jabatan. Ini bermaksud tempoh berkhidmat saya di sini hanya tinggal tiga minggu setelah ditolak cuti yang tahunan yang masih ada.
Persiapan fizikal dan mental yang tinggi untuk memulakan pengajian ditahap ini adalah suatu yang amat dituntut. Pengalaman dan pandangan yang disampaikan oleh mereka yang telah melalui pengajian diperingkat ini terlalu banyak untuk digarapkan. Antara yang sering disampaikan ialah PhD tak susah tapi renyahnye banyak, jangan abaikan keluarga, banyakkan berdoa, luar negara lebih mudah berbanding dalam negara, penyelia tidak membantu dan berbagai lagi.
Bagi saya setiap individu akan mengalami senario yang berbeza kerana memang menjadi lumrah manusia akan sentiasa diuji akan keimanannya dan terpulanglah kepadanya untuk menentukan hala tuju yang perlu diambil. Terdapat banyak buku ilmiah dan catatan mereka yang berjaya menamatkan pengajian tetapi ianya boleh dirujuk sebagai bimbingan dan bukannya hakikat yang sebenar. Kesimpulan yang boleh saya buat adalah tiada jalan yang mudah dan seragam yang perlu dipatuhi untuk menyiapkan pengajian PhD.
Sebelum bercuti panjang seperti biasa saya perlu menyerahkan tugas yang diamanahkan untuk diambil alih oleh rakan sejawat dan menyelesaikan tanggungjawab sedia ada. Rakan-rakan ada yang bertanya kenapa kau nak sambung pengajian lagi?. Tak bimbang ke kalau ditukarkan ke Bahagian Pengurusan di Kuala Lumpur hingga terpaksa berjauhan dari keluarga?. Bagi saya selagi ada peluang untuk meningkat pengetahuan dan pengalaman hidup saya akan usaha untuk dapatkan. Masalah akan datang dalam pelbagai cara, sebagai khalifah dibumi ALLAH kita wajib berusaha dan memartabatkan agama dan negara.
Semoga diberi kekuatan oleh ALLAH untuk menempuhi cabaran sebagai calon/pelajar peringkat PhD. InsyaALLAH.
happy brthday my darling
BalasPadam