Perjalanan ini

Perjalanan ini

Rabu, 2 Jun 2010

Melanjutkan pengajian

AlhamduLILLAH setinggi pujian kepada yang Maha Esa.

Semalam saya menerima keputusan melalui web yang permohonan melanjutkan pengajian peringkat PhD telah diterima dan diarahkan mendaftar pada 30hb Jun 2010. Hingga kini saya masih menunggu surat panggilan rasmi tersebut untuk dipanjangkan kepada ketua jabatan. Ini bermaksud tempoh berkhidmat saya di sini hanya tinggal tiga minggu setelah ditolak cuti yang tahunan yang masih ada.

Persiapan fizikal dan mental yang tinggi untuk memulakan pengajian ditahap ini adalah suatu yang amat dituntut. Pengalaman dan pandangan yang disampaikan oleh mereka yang telah melalui pengajian diperingkat ini terlalu banyak untuk digarapkan. Antara yang sering disampaikan ialah PhD tak susah tapi renyahnye banyak, jangan abaikan keluarga, banyakkan berdoa, luar negara lebih mudah berbanding dalam negara, penyelia tidak membantu dan berbagai lagi.

Bagi saya setiap individu akan mengalami senario yang berbeza kerana memang menjadi lumrah manusia akan sentiasa diuji akan keimanannya dan terpulanglah kepadanya untuk menentukan hala tuju yang perlu diambil. Terdapat banyak buku ilmiah dan catatan mereka yang berjaya menamatkan pengajian tetapi ianya boleh dirujuk sebagai bimbingan dan bukannya hakikat yang sebenar. Kesimpulan yang boleh saya buat adalah tiada jalan yang mudah dan seragam yang perlu dipatuhi untuk menyiapkan pengajian PhD.

Sebelum bercuti panjang seperti biasa saya perlu menyerahkan tugas yang diamanahkan untuk diambil alih oleh rakan sejawat dan menyelesaikan tanggungjawab sedia ada. Rakan-rakan ada yang bertanya kenapa kau nak sambung pengajian lagi?. Tak bimbang ke kalau ditukarkan ke Bahagian Pengurusan di Kuala Lumpur hingga terpaksa berjauhan dari keluarga?. Bagi saya selagi ada peluang untuk meningkat pengetahuan dan pengalaman hidup saya akan usaha untuk dapatkan. Masalah akan datang dalam pelbagai cara, sebagai khalifah dibumi ALLAH kita wajib berusaha dan memartabatkan agama dan negara.

Semoga diberi kekuatan oleh ALLAH untuk menempuhi cabaran sebagai calon/pelajar peringkat PhD. InsyaALLAH.

Selasa, 1 Jun 2010

5A UPSR keperluan atau kelebihan


AlhamduLILLAH Ikmal terpilih untuk menyertai skuad tenis Terengganu lelaki bawah 12 tahun. Beliau kini sedang menjalani latihan di Dungun Terengganu selama 10 hari sehingga 5 Jun ini. Seramai 15 orang pemain remaja lelaki yang menyertai latihan ini selain dari bawah 12 tahun terdapat juga kateogeri bawah 15 tahun dan 18 tahun.

Ini merupakan pengalaman pertama Ikmal menyertai skuad negeri dan ia menjadi satu kebanggaan bagi beliau, kami sekeluarga dan pihak sekolahnya. Dalam tempoh dua tahun bermain tenis beliau telah menunjukkan minat dan komimen yang tinggi dalam setiap latihan dan perlawanan yang disertai. Semangat ingin mencapai kejayaan dan belajar dari kesilapan lampau membuatkan permainan beliau cepat meningkat.

Sebagai ibubapa kami memberikan semangat dan dorongan pada beliau agar cemerlang dalam semua aktiviti yang beliau sertai. Pengalaman berjauhan dengan beliau membuatkan kami merasakan kasih sayang terhadapnya sangat menebal walaupun seringkali ditegur dan dimarahi apabila bersama di rumah. Bagi kami Ikmal masih belum cukup matang untuk menguruskan keperluan hariannya, namun pengalaman menyertai pasukan tenis ini sedikit sebanyak akan mematagkan beliau menempuhi alam remaja kelak.

Ramai rakan-rakan, guru-guru termasuk datuk Ikmal yang mengingatkan kami tentang peperiksaan UPSR yang akan ditempuhinya pada bulan September nanti. Bagaimana kalau pelajarannya tercicir? Bagaimana kalau Ikmal tak dapat 5A?. Pelbagai persoalan lain yang diajukan kepada kami berkaitan penyertaan Ikmal dalam sukan tenis pada usia ini. Bagi kami 5A bukanlah sebagai penanda aras bahawa pelajar ini cemerlang. Banyak lagi perkara lain yang perlu di capai oleh beliau sebagai contoh pembangunan modal insan, seperti bergaul, berdikari dan paling utama mengabdikan diri kepada ALLAH.

Budaya mendapat keputusan 5A pada peperiksaan UPSR kini telah menjadi satu keperluan yang amat tinggi sehinggakan boleh dikatakan wajib diambil tindakan oleh semua pihak yang terlibat secara langsung. Dari Menteri Besar hinggalah kepada ibubapa semua mengharapkan agar kejayaan ini dapat ditingkatkan dari setahun ke setahun. Seolah-olah tanpa 5A pelajar ini tidak akan kemana-mana, senario ini amat ketara dan boleh kita dilihat apabila ramai ibubapa kini yang menghantar anak kekelas tambahan dan percambahan pusat-pusat tuisyen.

Akibat dari tekanan dan desakan untuk mencapai keputusan ini masyarakat mula mengabaikan perkara-perkara pokok yang tidak kurang pentingnya selain dari mengejar keputusan 5A. Isu keruntuhan moral remaja, peningkatan peratus gejala dadah, lepak, buang bayi, rempit dan vandalism semakin membimbangkan dan tiada pelan tindakan terancang yang diambil untuk mengekangnya.